CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

25 Februari, 2008

Cerita Seorang Melayu Berjaya


Kejayaan yang dikecapi Najmil Faiz ( anda kenal siapa dia?) bukanlah dengan jalan yang mudah. Beliau telah mengorbankan usia muda dan keseronokan demi mencapai kejayaan. Pada pendapat beliau, sebagai manusia dan orang Melayu, beliau mesti membuktikan keupayaan beliau biarpun beliau terpaksa merangkak sekalipun. Agenda untuk bangsanya cukup besar. Pendidikan menjadi satu-satunya aset tidak ternilai untuk kejayaan sesebuah bangsa. Beliau tidak boleh terima orang memandang rendah bangsa Melayu dan menganggap Melayu kurang asam, malas berfikir dan tiada daya saing.


Najmil Faiz Mohammed Aris, pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini mencapai kejayaan setelah 'tersedar' daripada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pangkat tiga. Selepas itu, beliau pernah bekerja di stesen minyak dan merasakan dirinya selalu dipandang rendah. Beliau pernah berasa malu dan tertekan kerana kegagalan, namun beliau berazam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara seper ti abangnya. Disitulah permulaan dirinya yang baru. Kemudian beliau bekerja dengan sebuah firma di Kelantan untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), di Batu Pahat dan pada tahun 2000 beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda kejuruteraan dan seterusnya ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Metropolitan di Leeds. Di sana, beliau terpaksa bertungkus-lumus bekerja sambil belajar sehingga tidur hanya dua tiga jam sehari. Pada waktu rehat tengah hari, sementara menunggu kuliah petang, dia bekerja.


Semua jenis kerja keras dilakukan beliau termasuk mencuci bangunan dan mengangkut barang semata-mata bagi menampung kos pengajian dan sara hidup. Semasa menceritakan pengalamannya di majlis pelancaran bukunya di Perpustakaan Negara,Kuala Lumpur, pada sedikit masa lalu..beliau berkata bahawa tiada istilah penat dalam diri beliau dan beliau kerap tidak tidur malam mengulangkaji pelajaran. Beliau menambah lagi bahawa bukan mudah untuk beliau sampai ke tahap ini, sehingga untuk belajar bahasa Inggeris pun beliau terpaksa bertungkus lumus. Di dalam majlis tersebut, terlihat kesyahduan wajah kepuasan beliau dan menampakkan keyakinan untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya yang berakhir kelak.


Pada 14 Mac 2005 yang lalu, beliau mencipta sejarah pelajar Malaysia yang pertama diberi penghormatan dan pengiiktirafan untuk membentangkan kajian beliau "Micro Machine Process" kepada anggota Parlimen UK di London dan memenangi anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005)". Beliau membentangkan kajian mengenai Proses Mikro dan Kejuruteraan Nano selama 15 minit. Najmil tidak menghampakan apabila anggota Parlimen yang hadir bukan sahaja amat berminat dengan ideanya tetapi juga memberikan galakan kepadanya untuk meneruskan kajian beliau yang membabitkan "Nano" dan "Micro Machine Process".


Najmil yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang, berjaya membuka mata industri United Kingdom terhadap kebolehan rakyat menerusi inovasi yang dihasilkan. Beliau berhasrat untuk mengembangkan hasil kajian beliau di Malaysia agar Malaysia dapat bersaing dengan negara lain menjelang 2020. Beliau muncul sebagai salah seorang rakyat Malaysia termuda memiliki PhD, sekali gus memulakan kerjaya barunya sebagai pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) di Batu Pahat, Johor.


Beliau berazam untuk berkongsi pengetahuan dan teknologi yang dikumpulkannya sejak berada di UK dengan rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar KUiTTHO apabila kembali ke tanah air sebagai seorang pensyarah. Memegang pepatah Melayu, ``Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'', Najmil menolak ganjaran tinggi yang ditawarkan oleh industri di UK. Najmil Faiz Mohamed Aris adalah contoh intelek muda negara yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.


Najmil Faiz adalah seorang idola rakyat Malaysia dan Bangsa Melayu tentunya....